Namun tak ramai yang mengetahui, dua jenis buah-buahan tempatan kita sebenarnya mempunyai kandungan potassium yang tinggi. 100 gram durian mengandungi 436 mg potassium, iaitu lebih tinggi dari pisang. Begitu juga dengan nangka, 100 gram nangka mengandungi 448 mg potassium, lebih tinggi dari keduanya.
Atas sebab itulah, saya menggesa kepada anda yang mengenali sesiapa sahaja sama ada ahli keluarga, jiran mahupun rakan yang menghidapi penyakit kerosakan fungsi buah pinggang, khususnya yang bergantung kepada dialisis, agar BERPANTANG buah-buahan ini. Ia boleh meragut nyawa mereka.
BERPANTANG dalam erti kata mengurangkan atau kalau boleh, berhenti terus pun tak apa. Mungkin sekali sekala hanya dalam kuantiti yang sedikit, bukannya sekaligus. Secara kasarnya, pesakit buah pinggang tetap memerlukan dietary potassium yang mencukupi, iaitu sekitar 1500 ke 2000 mg sehari. Pendek kata jika pesakit mahu makan durian, maka kurangkan makanan tinggi potassium lain seperti yang dinyatakan di atas.
Jangan pula tengahari sudah makan gulai nangka, malamnya hendak menjamah durian pula!
Saya kongsikan di sini, sebuah case study yang berlaku di sebuah hospital di tanah air : http://e-mjm.org/2011/v66n1/Hyperkalaemia.pdf
Bahkan sebenarnya, KURMA yang kita selalu makan, mengandungi kandungan potassium yang jauh lebih tinggi. 100 gram kurma mengandungi 656 mg potassium, hampir dua kali ganda pisang.
Cumanya, kita lazimnya jarang mengambil kurma dalam kuantiti yang banyak mencecah 100 gram. Kita biasa makan ketika berbuka puasa dalam jumlah kiraan ganjil sahaja, kerana itu ia jarang memberi kesan kepada kita.
Namun awas, kerana mutakhir ini ada banyak produk yang memproses kurma. Ada yang dijadikan jus yang sudah tentu memekatkan konsentrasi potassium yang ada didalamnya. Ada yang menjadikannya cokelat, ada yang diproses dalam minuman seperti kopi dan sebagainya.
Tapi, kurma kan makanan Nabi? Makanan "sunnah"? Mustahil lah ia boleh bawa keburukan.
"Itula dengar sangat cakap doktor ni, doktor ni semua kan belajar ilmu dari yahudi, sampai tak reti nak bezakan mana sunnah. "
Dalam bidang toksikologi, kita ada sebuah prinsip asas yang dipanggil sola dosis facit venenum, bermaksud "the dose makes the poison."
Kita juga ada dalam bidang farmakologi, sebuah subbidang khas dipanggil farmakokinetik yang mengkaji tentang bagaimana tubuh badan manusia memproses setiap bahan khususnya ubat-ubatan.
Setiap tubuh badan manusia secara individu, mempunyai kapabiliti tersendiri memproses setiap bahan yang ada.
Bagi manusia yang sihat seperti kita, habiskan sebijik durian pun tak apa. Kerana buah pinggang kita sihat, ia boleh mengkumuhkan dan membuang potassium berlebihan.
Tetapi bagi pesakit ESRD, ini tidak boleh bagi mereka. Mereka tidak boleh mengkumuhkan potassium, sebab itulah hatta seulas durian pun boleh membahayakan nyawa mereka.
Begitu juga dengan pesakit ESRD dan kegagalan fungsi jantung. Mereka ini, PANTANG air berlebihan.
Air, benda yang bagus bagi manusia. Bahkan kita digalakkan meminum sehingga 4 litre air sehari.
Tetapi ini, tidak benar bagi pesakit ESRD dan CCF. Mereka ini, hanya dibenarkan meminum sekitar 500ml air sahaja. Sekiranya lebih, air ini tidak dapat dikumuh keluar dan akan berkumpul di kaki sembab, bahkan sehingga ke paru-paru menyebabkan sesak nafas.
Begitu juga contoh seterusnya, nasi untuk pesakit kencing manis. Benar, nasi tu makanan berkhasiat dan berzat. Namun sudah tentulah pesakit kencing manis, tidak boleh mentekedarah nasi seperti orang sihat.
Atas sebab itulah, saya mengambil kesempatan ini menyeru kepada kita semua, agar BERHATI-HATI dengan sesetengah pihak yang bermotifkan keuntungan menjual "bahan-bahan beracun."
Mereka ini mengambil kesempatan atas keterdesakan dan atas nama "ikhtiar" seorang pesakit, serta memanipulasi dan memomokkan dengan ketakutan ke atas "bahan kimia".
Bahkan ada yang sanggup menggunapakai nama agama. Arwah seorang ahli keluarga saya sendiri, antara yang terpedaya, mengamalkan "kopi habbatussauda" kerana terpengaruh dengan dakwaan penjualnya bahawa ia mampu menyembuhkan penyakit darah tinggi yang dihidapinya.
Beliau dihasut dengan dakwaan ubat hospital tidak boleh menyembuhkan, boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang dsb, dan disuruh mengamalkan 'perubatan sunnah' iaitu habbatussauda. Kesudahannya, kombinasi darah tinggi yang tidak terkawal dan faktor pengambilan kaffein yang berterusan, beliau meninggal dunia akibat strok (angin ahmar).
Berhati-hatilah dengan apa sahaja yang dipanggil "natural" kerana apa yang "natural" bagi seorang, mungkin menjadi "pathological" bagi seorang yang lain.
Dapatkan nasihat doktor YANG MERAWAT ANDA, bukannya orang sebarangan, hatta saya sekalipun sering ditanya di FB "bolehkah saya ambil supplemen ini", saya tidak akan menjawabnya kerana saya tidak mempunyai maklumat mengenai kesihatan orang yang bertanya. Saya tidak tahu fungsi buah pinggang anda normal atau tidak, fungsi hati anda ok atau tidak, apa masalah kesihatan yang anda ada.
Akhir kata, orang yang bertanggungjawab atas kesihatan anda, first and foremost adalah diri anda sendiri. Justeru buatlah pilihan yang selamat dan letakkanlah kepercayaan kepada orang yang betul. Kerana in the end, yang akan menanggung kesannya, adalah anda sendiri.
Sumber dan gambar: Mohd Syamirulah Rahim.
0 Ulasan