Suami rasa si isteri membebankan dirinya, sebaliknya pula isteri menganggap dirinya jadi hamba dalam rumahtangga. Keadaan ini mungkin dianggap remeh tetapi jika dibiarkan ia akan menjadi nanah @ barah, malah akan menyebabkan pergaduhan, perasaan tidak puas hati dan paling teruk penceraian, seterusnya akan mempengaruhi kehidupan seharian jika tidak di atasi.
Perkara yang dianggap remeh ini mempunyai kesan yang besar dalam hubungan, jika tidak percaya semaklah perkara di bawah:
Isteri tukang cuci
Para suami ingatlah bahawa isteri bukan tukang cuci. Bagi pasangan bekerja, fahamlah apabila pulang ke rumah anda berdua pasti keletihan. Jadi bekerjasamalah menguruskan rumah. Jangan hanya melepaskan tugas kepada isteri sahaja. Sekiranya terlalu penat, biarkan sahaja jangan mendesak atau membuat pelbagai permintaan kepada isteri.
Isteri tukang masak
Sedarlah isteri bukan tukang masak dan belum tentu pandai memasak. Sewajarnya isteri diberi peluang untuk memasak atau tidak. Suami harus berterima kasih kepada isteri yang memasak untuknya. Ringan tangan membantunya atau sekurang-kurangnya ambil tahu keperluan dapur dan jangan bergantung sepenuhnya kepada isteri. Jangan pandai mengkritik sahaja. Jika tahu sama-sama sibuk dan tidak sempat memasak, beli sahajalah.
Isteri tukang basuh punggung anak
Tugas ini perlu diketahui oleh pasangan. Jangan beri alasan geli atau tidak biasa kerana alasan itu tidak boleh diterima memandangkan anak adalah tanggungjawab anda berdua. Jadi suami harus belajar menguruskan anak lebih-lebih lagi ketika kecemasan.
Isteri ke pasar
Sudah menjadi lumrah, isteri yang perlu ke pasar. Suami selalu memberi alasan malas kerana tidak selesa, kotor dan terlalu banyak barang yang nak dibeli. Tugas ke pasar adalah kerja bersama. Sekiranya isteri tidak sempat ke pasar, sepatutnya suami sama-sama mengambil tugas berkenaan. Sekali sekala, berduaan ke pasar dengan isteri dapat eratkan lagi hubungan kan?
Isteri lebih tahu
Setiap kali anak sakit, isteri yang selalu bertanya kepada doktor mengenai kesihatan anak, sebaliknya suami hanya berdiam diri. Kononnya isteri lebih arif mengenai anak. Sepatutnya suami dan isteri sama-sama bertemu doktor bertanya keadaan anak mereka.
Isteri lipat kain
Melipat kain adalah kerja yang remeh bagi sesetengah orang. Bagi isteri yang bekerja, ada kalanya tugas ini tidak sempat dilakukan dan menyebabkan baju bertimbun tanpa dilipat. Jadi suami harus faham dan membantu isteri melakukannya tatkala isteri sedang melipat kain. Jangan pandang sahaja.
Isteri – pengorbanan
Lumrah isteri sering berkorban. Adakah ini benar? Sebenarnya ikatan sebuah perkahwinan menuntut pengorbanan kedua-dua pihak dan ia sepatutnya adil. Sebagai contohnya ketika sambutan perayaan. Buatlah jadual giliran agar memuaskan hati semua.
0 Ulasan