Kes serangan seksual bukan kes yang boleh dipandang ringan. Mangsa berisiko menjadi trauma dan malu lebih-lebih lagi jika ianya tersebar umum. Itulah yang terjadi kepada seorang budak perempuan 9 tahun yang mendakwa dicabul seorang lelaki yang tidak dikenali di tandas surau Ambangan Heights, Sungai Petani.

Memetik dari Sinar Harian

Mangsa mendakwa dipeluk dan dicabul selepas dipanggil ketika bermain di taman permainan itu kira-kira jam 6.30 petang pada 13 Disember lalu. Kejadian turut disaksikan kakak sepupu mangsa yang turut bermain bersama-samanya ketika kejadian.

Tandas di surau ini dipercayai berlaku kejadian cabul pada 13 Disember lalu. (Gambar Sinar Harian)

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, hasil siasatan mendapati suspek memanggil mangsa supaya menghampiri tandas dan terus memeluk sambil memegang kemaluan mangsa.


"Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan kejadian jelas di mana seorang lelaki menunggang motosikal memanggil mangsa supaya menghampiri suspek.
"Suspek terus memeluk mangsa dari belakang dan cuba menolak mangsa ke dalam tandas tersebut. Bagaimanapun mangsa meronta-ronta dan dapat melepaskan diri," katanya.
Menurutnya, tiada sebarang kecederaan dialami selain tempat kejadian adalah kawasan bebas iaitu di tandas surau namun suspek yang bertubuh sederhana dan berkulit gelap itu bertutur dalam Bahasa Melayu.



"Polis sedang giat mengesan suspek dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda atau hubungi balai polis berhampiran.

Untuk kes ini, ia disiasat di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.