Kahwin. Itulah penamat hubungan cinta yang diimpikan oleh si teruna dan dara. Antara sebab utama niat berkahwin itu adalah untuk mengelakkan maksiat terutamanya untuk mengelak dari melakukan dosa besar iaitu zina. Tapi apakah dengan berkahwin boleh menyelamatkan diri dari perlakuan zina? Ikuti perkongsian dari saudara Hilal Asyraf.

Sumber gambar Hilal Asyraf

“Kahwin boleh menghalalkan seks, tapi belum tentu menyelamatkan kita dari gejala zina. Ada aja mereka yang sudah berkahwin tapi masih terjebak dengan zina.

Kahwin bukan kayu magik yang mengubah peribadi dan sikap secara automatik selepas akad.

Maka semenjak bujang, masih anak dara, hendaklah kita mendidik diri dengan disiplin insan beriman: tundukkan pandangan, jaga batas pergaulan dan kemaluan.

Ini perlu ditekankan awal, supaya menjadi sebahagian daripada peribadi kita. Kerana selepas bernikah nanti, kita masih perlu pergi kerja, bergaul dengan orang ramai di internet dan pelbagai situasi lagi.

Jika kita bukan orang yang mampu jaga pandangan, batas pergaulan dan kemaluan sendiri, kita akan ada masalah kelak.

Kahwin bukan jalan pintas untuk masalah pencegahan zina kerana akad nikah juga bukan semata-mata memberikan kita kehalalan seks, tetapi datang bersamanya tanggungjawab yang besar menempuhi alam rumah tangga.

Jadi kalau dalam kepala tu fikir kahwin sebab seks aja, kena baiki terlebih dahulu mentaliti tersebut, kerana mentaliti sedemikian akan bawa masalah nanti.

Menggugut Ibu Bapa untuk percepatkan dan permudahkan pernikahan kita kerana 'takut berzina' hanya menggambarkan kelemahan diri dan niat perkahwinan yang salah, bukan kepatuhan kepada agama. Ia juga menggambarkan kita masih belum siap untuk memikul tanggungjawab berkeluarga.

Periksa kembali hubungan kita, macam mana bercinta sampai rasa nak berzina itu. Perbaiki diri. Ikuti sunnah Rasulullah SAW, yakni berpuasa, kawal diri, dan bertanggungjawab bina kemampuan untuk mendirikan rumah tangga.

Moga Allah bantu.
Muhasabah.”