“Ibu-ibu yang baru bersalin tanya saya, kenapa saya bagi nasihat kepada mereka tak payah pantang makan macam zaman dulu, dan kenapa saya bagi nasihat kepada mereka, tak payah bimbang tentang kegatalan pada jahitan mereka seperti zaman dulu.
1) Pertama saya beritahu ibu-ibu penerangan tentang jenis benang jahitan:
Zaman dulu, doktor menggunakan benang catgut yang dibuat dari usus binatang. Nama sebenar catgut ialah ‘cattlegut’ yang didapati dari usus lembu atau kambing. Benang catgut ini mengambil masa yang lebih lama untuk larut dalam badan manusia dan menyebabkan lebih tindakbalas badan, seperti keradangan, kegatalan dan lebih lambat sembuh.
Zaman sekarang, kami sudah tinggalkan benang catgut. Kami gunakan benang sintetik, bukan lagi benang usus binatang. Benang sintetik zaman sekarang lebih halus dan disalut antibakteria. Ini terbukti mengurangkan jangkitan bakteria, mengurangkan keradangan badan, mengurangkan kegatalan, lebih cepat larut dan luka lebih cepat sembuh.
2) Kedua, saya beri penerangan tentang kaedah saya membuat jahitan:
Doktor-doktor dan bidan-bidan zaman dulu selalu buat jahitan ‘Simple Interrupted ’ sutures (lihat gambar). Tetapi zaman sekarang, sebagai seorang Pakar Perunding yang mengajar doktor-doktor muda dan bidan-bidan, saya sentiasa menggalakkan mereka semua berhenti membuat jahitan cara lama pada koyakan ibu atau jahitan episiotomy dan ubah kepada jahitan ‘Continuous Subcuticular’ sutures. Jika mereka sudah belajar cara jahitan lama dari doktor dulu-dulu, saya menggalakkan mereka ubah amalan mereka dan belajar cara jahitan yang terbukti lebih baik.
Kaedah ‘Continuous Subcuticular’ ini terbukti mengurangkan kesakitan ibu selepas bersalin, sebab benangnya tersembunyi dan larut di bawah kulit ibu, bukan di atas dan di dalam kulit ibu. Kulit ada deria sakit dan ibu akan tidak selesa dan lebih lagi meminta ubat tahan sakit selepas jahitan kaedah ‘Simple Interrupted’.
Kaedah ‘Continuous Subcuticular’ juga terbukti mengurangkan ibu mengadu sakit bila membuat hubungan kelamin bersama suami 90 hari selepas bersalin bila dibandingkan dengan kaedah jahitan ’Simple Interrupted’.
Selain dari itu, untuk kaedah ‘Simple Interrupted’ terdapat simpul benang (knots) di luar kulit badan. Tidak hairanlah ibu-ibu akan rasa sakit atau tidak selesa bila cuba duduk di atas simpul (knots) sebab koyakan kulit di bahagian bawah faraj itu ialah juga kawasan kulit yang tertekan atas kerusi bila kita duduk atas kerusi. Nak jalan pun sakit, nak duduk pun sakit.
Untuk kaedah ‘Continuous subcuticular’, hanya ada dua simpul benang yang di buat di bawah kulit dan berakhir di dalam vagina, maka tiada simpul benang di bahagian kulit yang duduk di atas kerusi.
3) Ketiga, saya beritahu ibu, supaya luka cepat sembuh, jangan pantang makanan berkhasiat.
Ambil lah cukup protein seperti telur, ikan, ayam daging. Makanan ini tidak menyebabkan nanah. Apa yang menyebabkan nanah ialah jangkitan bakteria kepada luka. Saya bagi nasihat kebersihan tangan itu penting sebelum menyentuh luka. Saya bagi nasihat tukar pad wanita dengan kerap setiap hari supaya kawasan luka cepat kering. Saya bagi nasihat jika ada tanda jangkitan bakteria, kami akan beri antibiotik, maka jangan pantang makanan berprotein yang diperlukan untuk kesembuhan luka.
4) Keempat, saya jelaskan jangan pantang makanan berprotein dan makanan berkhasiat sebab ini penting untuk membuat susu ibu yang berkualiti.
5) Kelima, saya bagi nasihat kesihatan jangkamasa panjang, pantanglah seumur hidup makanan yang tidak berkhasiat
Makanan yang memudaratkan kesihatan anda seperti makanan segera (jangan dok bangga sangat kata anda tak pantang makan Burger selepas bersalin - itu bukan langkah yang cerdik), seperti makanan yang tinggi kandungan garam, makanan yang tinggi kandungan gula. Makanan Hospital itulah lebih berkhasiat. Jangan buang makanan Hospital lepas tu pi beli makan burger 🍔- sungguh laa tak cerdik.
6) Keenam, saya bagi nasihat makanlah makanan berkhasiat
Makanan seperti sayur-sayuran, ulam-ulaman dan buah-buahan sebab inilah milkbooster semulajadi yang terbukti terbaik selain dari mencegah sembelit.
7) Ketujuh, saya bagi penerangan minum air dengan cukup 2-3 Liter sehari untuk membuat susu ibu dan supaya tidak sembelit.
Zaman dulu saja ibu-ibu boleh dapat becak dan faraj berair jika minum banyak sebab hanya zaman dulu ibu boleh dapat masalah koyakan teruk Obstetrik fistula yang tidak diperbaiki bila bersalin di rumah tanpa bantuan bidan bertauliah atau doktor perubatan. Zaman sekarang tiada lagi masalah koyakan Obstetrik fistula sebab kami tak benarkan ibu teran terlalu lama dan kami bantu ibu bersalin.
8)Akhir sekali, pantanglah makanan yang anda memang ada alahan.
Bukan semua orang ada alahan kepada makanan tertentu. Bukan semua orang ada alahan kepada jenis makanan yang sama. Jadi berhentilah suruh orang lain pantang makan makanan berkhasiat jika anda seorang saja yang ada masalah makan makanan itu. Kalau hang tak suka, hang pantang laa sorang. Orang lain tak ada masalah makan laksa, tak payahlah dok sekat orang lain makan laksa.
Jangan ketinggalan zaman. Ubah amalan kepada apa yang lebih baik. Sekian, terimakasih.”
Dr Imelda Balchin
Pakar Perunding Obstetrics & Gynaecology,
Subspecialist in Maternal & Fetal Medicine,
KPJ Damansara Specialist Hospital.
0 Ulasan