Gambar hiasan |
“Kali ini isteri saya bersalin secara pembedahan. Jarak Sayyidah dengan Riyadh ialah 8 tahun. 3 kali dalam tempoh itu, isteri saya keguguran.
Selepas Sayyidah lahir, saya tengok bagaimana sukarnya isteri saya nak bergerak ke sana ke sini. Dari riak mukanya, kita tahu yang dia buat-buat sakit atau sakit sungguh-sungguh. Memang dia tak buat-buat, dia sakit sungguh-sungguh.
Saya ingat lagi seorang kawan saya kata,
"Jangan percaya sangat kat isteri yang lepas bersalin tu sakit beria, kejap je sakit lepas tu eloklah. Macam-macam ubat doktor bagi.
Kita orang laki ni tak perlu beria nak jaga anak, anak nak kat mak dia banyaknya pun".
Alhamdulillah saya tak percaya cakap silaka dan setan dia.
Saya cuba bantu isteri. Saya yang takut sangat pada jarum suntik, selama 7 hari sayalah yang tolong cucuk pada badan isteri masukkan ubat cair darah ke apa tu namanya.
Kita tukang cucuk tak ada apa sangat, seram gitu-gitu je. Dia yang kena cucuk tu bagaimanalah perasaannya, bagaimanalah peritnya.
Basuh baju, basuh berak anak, sempatlah saya buat belaka. Saya kata kepada isteri
"Jangan bimbang, 3 bulan berpantang ni, biar abang uruskan belaka, dinda rehat sahajalah. Mandi anak je abang tak berani huhu".
Dia senyum, sambil anak kami Sayyidah lena tidur disebelahnya. Takkan Sayyidah nak mengiyakan pula cakap tu. Jangan buat pasal.
Rupanya tak dan 3 bulan.
3 hari lepas balik dari hospital tu, isteri saya dah sibuk balik. Sibuk melipat kain dan baju. Sibuk siapkan makanan saya, sibuk basuh itu ini dan macam-macam sibuk lagi.
Bergerak ke sana ke mari. Ada masa laju, ada masa perlahan. Kerapnya selalu disentuh-sentuh bahagian perutnya. Barangkali ngilu menahan sakit dan perit.
Jadi, bila dia berehat?
Kawan-kawan,
Percayalah. Isteri yang ada disebelah kita, pengorbanan dia kepada keluarga cukup besar. Penat lelah dia ketika mengandung bawa anak kita ke hulu ke hilir, kemudian menahan maha sakitnya ketika bersalin, tak mampu kita lalui.
Andai kita diberi peluang untuk merasainya, sudah pasti kita tolak awal-awal ataupun cabut lari.
Betapa banyak keinginan yang dia pendam, tak mahu diucap agar kita tak bimbang atau bekerja kuat untuk usahakannya. Asalkan anak-anak dan seorang suami sentiasa ada bersamanya, buat jadi penghibur hati dia.
Itulah yang melegakan segala sakit yang dia alami. Biarlah segala keinginan dia yang nakkan itu dan ini dipenuhi sawang sehingga akhir hayatnya. Cukup sekadar nampak bayangan di mata dan hati, asal tidak menyakitkan dan meresahkan dada suami.
Belajarlah untuk merasai beban seorang isteri.
Saya tulis ini bukan sebab hari ini hari jadi isteri saya. Saya tulis sebab saya perasan betul-betul isteri saya berehat cuma sejam dua ketika semua kita sudah enak melayan mimpi ditengah-tengah malam.
Isteri baru nak lena beria, anak kecil sudah merengek meminta susu. Lekas tergopoh dia kembali duduk demi membahagiakan si anak kecil kita.
Allahu.
Begitulah juga mak-mak kita. Asal namanya ibu, cukup besar pengorbanannya tak terlawan.
Buat peringatan bagi diri saya dan yang bergelar suami
Pandanglah betul-betul wajah isteri, kenanglah segala susah perit yang dia tanggung, sebelum membuat sesuatu perkara yang mengundang petaka.
Susah sama susah, senang sama senang. Gembira belaka.
WS Adli W Muhammad,
Terima kasih Salmi Suhana, si cinta kanda.”
0 Ulasan