“Jangan terlalu obses”Itulah pesan Doktor Suhazeli kepada masyarakat tentang virus influenza yang sedang melanda negara kita. Tambahnya lagi, “Apabila kes Influenza meningkat dan media massa banyak membicarakan isu ini, terdapat pelbagai khidmat nasihat yang berlebih-lebihan pula disebarkan. Nampak terlalu panik dan obses pulak masyarakat dalam mencegah dan merawat kes selesema dan demam.”
Di samping itu beliau menyenaraikan EMPAT langkah yang memadai dalam mencegah penyakit Influenza:
- Jaga Etika batuk. Di mana anda perlu menutup mulut ketika batuk/bersin samada menggunakan tisu atau sapu tangan. Jika tak sempat capai tisu atau sapu tangan, tekup dengan tapak tangan pun ok. Jangan hembur wap batuk atau bersin itu kepada orang sebelah. Adab sopan perlu dijaga.
- Memakai penutup mulut dan hidung dengan topeng muka (mask). Pemakaian mask ini pun tidak perlu keterlaluan sehingga masuk bilik mandi pun terpaksa pakai mask. Bagi pergerakan biasa kita yang tidak mengalami gejala influenza, pun tidak perlu memakai mask. Hanya kes dan individu tertentu yang berisiko seperti anggota kesihatan, pesakit kurang daya imun badan atau berada di kawasan padat yang amat disarankan memakai topeng muka ini.
- Kerap Mencuci tangan. Kaedah ini amat penting supaya kita senantiasa menjaga kebersihan. Tangan adalah anggota paling aktif dalam kehidupan kita. Berjuta kuman berada di tangan tanpa kita sedari. Virus influenza dari orang yang positif boleh merebak kepada orang lain melalui pernafasan atau sentuhan badan. Sudah tentu apabila kita bertemu dengan rakan taulan, tangan adalah anggota utama kita berjabat salam.
- Pencegahan paling ampuh setakat ini adalah vaksin. Tetapi jangan anda semua sasau-minda (panik) untuk mendapatkan vaksin. Bagi golongan tertentu sahaja yang amat-amat memerlukan vaksin kerana terdiri dari kumpulan berisiko.
Keutamaan vaksin Influenza diberikan kepada:
- Kanak-kanak umur bawah 5 tahun dan orang berumur lebih 65 tahun.
- Orang dewasa yang berisiko seperti penghidap penyakit kronik, kencing manis, lelah dan seumpamanya. Bincanglah dengan doktor adakah anda perlu ambil atau tidak.
- Petugas kesihatan atau penjawat yang berdepan dengan orang ramai seperti polis, imegresen, pegawai khidmat pelanggan dan sebagainya.
- Individu yang merancang ke luar negara yang tinggi kejadian influenza.
- Bakal haji/umrah.
- Ibu Hamil.
- Berlebihan berat badan.
Virus influenza tidak kekal lama di persekitaran. Kajian menyatakan antara 5 minit hingga 2 jam sahaja.Kemudian jika virus tidak memasuki manusia sebagai perumah tetap mereka, akan mati di persekitaran. Virus influenza juga boleh melekat di peralatan rumah atau pejabat yang mempunyai sentuhan terus dari pesakit yang positif influenza. Tidak perlulah terlalu obses dengan spray / sembur semua peralatan rumah. Hinggakan kipas dan TV pun kena spray. Keterlaluan tu. Kita bukannya bercium berpeluk dengan TV pun. Memadai persekitaran kita senantiasa bersih.
Janganlah beri nasihat yang melampau kepada masyarakat sehingga isu influenza ini menjadikan negara seperti darurat.Tidak perlulah semua orang wajib berkurung dalam rumah, membeli barang harian pun secara online sahaja. Nasihat keterlaluan itu menimbulkan sasau-minda orang ramai. Jika anda atau anak-anak mempunyai tanda-tanda influenza, berjumpa segera dengan doktor bukannya berkurung dalam rumah. Cuma jika mempunyai gejala, hadkan pergerakan anda supaya tidak berada di kawasan tumpuan orang ramai. Kuarantin dilakukan atas nasihat doktor bukannya jurujual produk.
Satu lagi, vitamin C bukan gantian kepada vaksin ye. Ya betul vitamin C itu ada kefungsian untuk menjaga integriti sel tubuh. Ianya anti oksida agar tubuh kita senantiasa segar. Tetapi ianya bukan antivirus atau gantian vaksin yang boleh mencegah influenza secara spesifik. Jangan terpengaruh dengan dakyah antivaksin supaya ambil vitamin C megadose. Mereka nak lariskan produk kesihatan mereka sahaja.
Begitu juga dengan petua tabur bawang merah sekeliling rumah. Tidak perlu membazir. Bawang merah bukan anti virus.Kesian pula rumah anda jadi bersepah dengan bawang di segenap penjuru. Cukuplah bawang merah atau putih itu menjadi resepi masakan sahaja.
fb.com/Suhazeli.abdullah
14.1.2020
Putrajaya .
.
OBSES = Keterlaluan / berdo'ohan / penyakit was-was
Sumber: Doktor Suhazeli Abdullah
0 Ulasan