KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang wanita yang juga pembantu klinik disyaki bersubahat dengan teman lelakinya melakukan jenayah samun terhadap seorang doktor di sebuah klinik di Taman Pandan Indah, Ampang Jaya, Selangor. Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Noor Azmi Yusoff, ketika kejadian pada pukul 8.48 pagi Isnin, pihaknya menerima laporan seorang lelaki bersenjatakan objek menyerupai pistol menyamun seorang doktor di klinik terbabit dengan kerugian dilaporkan sebanyak RM2,443.
"Berdasarkan semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek telah masuk ke dalam klinik dan keluar selepas beberapa minit dengan hasil wang perniagaan klinik tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mengulas lanjut, Noor Azmi berkata, siasatan lanjut mendapati keterangan pembantu klinik wanita berusia 24 tahun yang bekerja sejak lebih sebulan meragukan.
Katanya, soal siasat mendapati suspek telah berpakat dan bersubahat dengan teman lelakinya yang dikenali enam bulan lepas berusia 26 tahun dan tindakan polis seterusnya menahan kedua-dua suspek.
"Pihak polis telah merampas pakaian yang digunakan suspek semasa kejadian, wang tunai berjumlah RM310, dua resit deposit tunai berjumlah RM2,050 dan barangan lain untuk tujuan siasatan.
"Kes telah diklasifikasi di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan dengan senjata.
"Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara yang boleh sampai 14 tahun dan dikenakan denda atau sebat," jelasnya.
0 Ulasan