GENEVA: Satu virus baharu daripada kumpulan virus sama yang mencetuskan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS), dikesan tersebar di luar sempadan China buat pertama kali dengan satu kes muncul di Thailand, kata pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Thailand, hari ini.
Doktor Thailand mengesan seorang pelancong China dengan pneumonia ringan pada Rabu lalu, sebelum disahkan berpunca daripada koronavirus baharu, yang menyebabkan 41 kes seperti pneumonia dan satu kematian di China.
Wabak itu menyebabkan kebimbangan kerana kaitannya dengan SARS yang membunuh 349 mangsa di China dan 299 lagi di Hong Kong antara 2002 dan 2003.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan wabak di bandar Wuhan itu berpunca daripada koronavirus tidak diketahui sebelum ini, sebahagian daripada kumpulan luas virus yang boleh menyebabkan selesema hinggalah penyakit serius seperti SARS.
“Ujian makmal mengesahkan koronavirus baharu itu adalah puncanya,” kata jurucakap WHO, Tarik Jasarevic kepada AFP menerusi e-mel, merujuk pada kes di Thailand.
WHO akan mengadakan pertemuan tergempar berhubung penemuan virus baharu itu.
Menteri Kesihatan Thailand, Anutin Charnvirakul, berkata kepada pemberita di Bangkok hari ini, wanita China berusia 61 tahun dari Wuhan itu dijangkiti virus dari luar Thailand. Pihak berkuasa China memaklumkan mangsa semakin pulih.
Pihak berkuasa di Wuhan memaklumkan, pasar makanan laut di bandar itu dikesan sebagai pusat wabak berkenaan dan ditutup pada 1 Januari lalu. Buat masa ini, penyebaran virus itu daripada manusia ke manusia belum dikesan.
WHO menyifatkan penyebaran virus itu di luar China tidak mengejutkan.
“Kemungkinan untuk kes seumpamanya di kesan di luar China adalah dijangka, dan selaras dengan permintaan WHO sebelum ini yang menggesa pemantauan aktif dan persediaan di negara lain,” kata WHO dalam satu kenyataan.
Pihak berkuasa Thailand kini dalam keadaan berjaga-jaga, dan pegawai lapangan terbang memeriksa semua penumpang yang tiba dari Wuhan.
Pegawai dari Pusat Operasi Kecemasan Kesihatan Awam memberitahu AFP wanita dijangkiti yang datang dari Wuhan itu, ditahan sebaik tiba selepas pegawai di lapangan terbang mendapati mangsa mengalami demam. - AFP

Sumber: Berita Harian Online